-Blog kantoiIDENTITI jadi hashtag viral #@JomgelakFM-

Khamis, 10 Oktober 2013

TOPIK SERIUS... ADAKAH MENGEJI ATAU MEMBENCI UNTUK DARJAT?

PEMBACA
Perkara yang benar tidak akan berdiri dengan sikap manusia yang mempertahankannya dengan cara yang tidak betul.
 

Yang kita tatang, yang kita puja, yang kita keji yang kita meluat hari ini bukan penentu ianya akan berkekalan. Dalam keadaan kita bersosial dan berkomunikasi hanya melalui tulisan di muka skrin, tak pernah bertentang muka bersua fizikal, tetapi kita membenci dan mengutuk seolah-olah diri seputih kapas?

Aneh Kan?

Berpada-padalah. Benci pun berpada-pada. Suka pun berpada-pada. Tak perlu menjadi rebung tidak miang, bembam pula yang miang.  Kadang-kadang dugaan datang untuk menguji  – memberi peluang kita belajar mengurus sedikit ujian hati.

Orang yang rapat dengan kita kadang² adalah orang yang sering menyakiti hati kita kerana mereka selalu menyatakan sesuatu yang benar tentang kita, menjadi mata kita untuk memberitahu apa yang tidak kena pada diri kita. Walaupun kadang-kadang terasa pedihnya tetapi fikirlah,  lebih baik dipendamkan saja dan satu masa nanti biar ia hilang dengan sendiri sehingga terlupa kita pernah merasa sebegitu. Biarkan ianya ibarat mimpi yang kita lupa setiap kali terjaga dari tidur dan kita pun meneruskan kehidupan ini dengan lebih baik lagi tanpa ada penyesalan…

Kita tak mampu menutup mulut orang dan menahan gerakan lidah mereka tetapi tentu kita setingkat lebih baik dari mereka kerana kita mampu menjaga mulut dan mengawal lidah kita. Lawan tindakan mereka dengan diam dan memperbaiki atau meluruskan setiap kesalahan kita kerana tak mungkin kita cukup baik dan sempurna, dicintai semua orang atau terhindar dari cela. Kesempurnaan adalah sesuatu yang mustahil terjadi!...

Jangan biarkan diri larut dalam kesedihan, membendung air yang akan meluap, menahan angin agar tidak bertiup atau memelihara kaca agar tidak pecah kerana semua itu memang telah digariskan keputusan dan pelaksanaanya. Bersabarlah. Hari ini tetap berlalu dan orang yang menyakiti kita itu juga seorang makluk Allah, seorang insan biasa yang juga punya kelemahan dan kekurangan. Jadi untuk apa perlu bersedih.

Janganlah kita merasa terhimpit sejengkal pun kerana setiap keadaan pasti berubah. Hadapi kehidupan ini dengan apa yang ada, kawal jiwa untuk menerima dan menikmatinya. Tidak mungkin semua orang tulus kepada kita dan semua perkara sempurna dimata kita.

Padamkan panasnya keburukan dengan dinginnya kebaikan. Dunia ini memang tercipta dan tempat bertemunya dua hal yang berlawanan, dua jenis yang saling bertolak, dua kubu yang saling bertentangan, dua pendapat yang saling berbeza,yang baik dan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan.

Semua yang baik, yang indah yang bahagia yang sempurna dikumpulkan Allah di syurga.




0 Mesej diterima:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH AWAK

KANTOI IDENTITI. Dikuasakan oleh Blogger.