-Blog kantoiIDENTITI jadi hashtag viral #@JomgelakFM-

Selasa, 30 Ogos 2011

RAMADHAN YANG PERGI

PEMBACA

Ibu kota sudah mula sunyi, Ramai warganya mula meninggalkan bandaraya menuju kampung halaman. Diwajah sudah tergambar senyum wajah ibu dan ayah masing-masing. Sudah ternampak-nampak panasnya lemang di dalam buluh. Kampung yang sebelum ini sunyi kerana kebanyakan anak desa sudah merantu ke kota, kembali meriah dengan suara perantau yang pulang. Ayam itik direban bertempiaran lari kerana ramai yang mengejarnya untuk dijadikan rendang juadah di pagi hari raya.


Rumah-rumah yang sebelum ini suram kembali berseri. Langsir-langsir yang berlipat kemas di dalam almari, telah dikeluarkan untuk seri raya menyambut tetamu. Meja-meja mula dihias dengan alas baru, untuk meletakkan balang kuih muih untuk dijamu kepada tetamu. Alangkah indah dan uniknya suasana ini. Suasana yang biasanya hanya dapat dilihat setahun sekali. Suasana dimana semua orang tertunggu-tunggu untuk berdakap kasih, menghulurkan tangan memohon maaf dengan setulus hati. Saat dimana segala kemarahan dan dendam mahu dihapuskan tanpa paksa.


Betapa mulia Syawal sebagaimana kasihnya Ramadhan. Ketika kita membuka hati di bulan Ramadhan untuk disucikan dengan pelbagai amalan kebaikan, sudah tentu Syawal ini, jiwa yang penuh debu, kembali bersinar cahayanya. Di Syawal ini selain keseronokan pulang ke kampung berhari raya, berjumpa saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga tentu ada perkara lebih besar daripada itu…


Berakhirnya Ramadhan, selain meraikan keseronokan bertemu dengan orang-orang yang kita kasihi dan orang-orang yang sudah lama tidak kita temui, ia juga membawa satu tuntutan, bahawa “HIDUP INI SATU PERJUANGAN…” Dalam perjuangan itu sudah tentu banyak rintangan, cabaran dan tekanan. Menahan nafsu, lapar dan dahaga ketika Ramadhan hanya sebahagian daripada perjuangan tersebut. Ada perjuangan lebih besar daripada itu.. Kita jadikan Syawal ini sebagai masa untuk meningkatkan lagi taQwa hati kepada Allah SWT…


Kerana itu kedatangan Syawal bulan penuh kemenangan ini adalah untuk kita merenung, sudah sucikah jiwa ini?? Fahami maksud “Menang” itu dengan sebenar-benarnya…


SELAMAT MENYAMBUT SYAWAL….

SELAMAT TINGGAL RAMADHAN…. Semoga dapat bertemu lagi.. InsyaAllah…


Dari Tinta Mak Nenek Jambu…



0 Mesej diterima:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH AWAK

KANTOI IDENTITI. Dikuasakan oleh Blogger.