-Blog kantoiIDENTITI jadi hashtag viral #@JomgelakFM-

Selasa, 9 Ogos 2011

TAZKIRAH RAMADHAN: Ramadhan & Kehidupan Seorang Manusia

PEMBACA

Sangatlah rugi orang yang melayani Ramadhan hanya seperti bulan-bulan biasa. Merasakan bahawa Ramadhan ini bezanya hanya perlu berlapar dahaga di siang harinya sahaja.

Ada pula yang menganggap Ramadhan ini luar biasa. Tetapi luar biasanya sekadar kerana ‘selepas Ramadhan ada Hari Raya’.

Ini adalah orang-orang yang rugi.

Sedang Ramadhan hakikatnya merupakan satu motivasi tertinggi daripada Ilahi.

Buat manusia yang bernama Insani.


Kehidupan manusia yang sukar, dan Ramadhan pemberi kekuatan

Kehidupan manusia berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Kehidupan manusia penuh cabaran dan onak duri. Bukti mudah boleh kita lihat, bagaimana ramai sahaja manusia yang tidak tertahan dengan dugaan ini akhirnya menamatkan riwayat membunuh diri.

Ada pula yang mungkin tidak membunuh diri, tetapi akhirnya mengalami sakit mental, tekanan jiwa dalam meneruskan kehidupan sehari-hari.

Tetapi hadirnya Ramadhan untuk orang-orang yang beriman, sebagai medan memperkuatkan diri. Lihatlah bagaimana cantiknya Allah SWT apabila menyatakan ijazah Ramadhan adalah Taqwa.


“Wahai orang-orang yang beriman, disyariatkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana yang telah disyariatkan ke atas kaum yang terdahulu sebelum kamu, moga-moga kamu mendapat taqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 183.


Mengapa ijazah Ramadhan adalah taqwa? Kerana Taqwa adalah kekuatan untuk mengharungi kehidupan. Kerana Taqwa adalah penjaga kepada tingkah laku manusia. Lihatlah bagaimana Allah SWT mengiktiraf taqwa sebagai sebaik-baik bekalan, pencegah dari melakukan sesuatu yang Allah larang:


“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” Surah Al-Baqarah ayat 197.


Lihatlah bagaimana Allah melarang itu dan ini semasa Haji, dan kemudiannya Allah berpesan bahawa Taqwa adalah sebaik-baik bekal. Mengapa? Kerana Taqwalah yang memberikan kekuatan untuk kita menjauhi kemaksiatan, perkara-perkara buruk di sisi Allah SWT, juga di dalam kehidupan kita.

Maka, Taqwa hakikatnya adalah bekalan hidup. Ramadhan ijazahnya Taqwa. Jadilah Ramadhan sebagai pemberi kekuatan kepada kehidupan insan, bagi yang memerhatikan.


Diri yang banyak dosa dan kesilapan, Ramadhan tempat pembersihan.

Setiap manusia melakukan kesilapan. Salah satu pakej dalam menjadi manusia adalah kita akan melakukan kesilapan, kita pasti ada melakukan kesilapan.

Tetapi Allah SWT tidak akan membiarkan manusia dengan pakej melakukan kesilapannya begitu sahaja. Sebab itu dalam menjadi hamba kepada Allah SWT, ada juga pakej keampunan.

Dan antara pakej keampunan terbesar dalam setahun adalah Ramadhan.


Lihatlah semula barisan hadith-hadith ini:

  1. “Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.”
  2. “Barangsiapa yang membangunkan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.
  3. Barangsiapa yang membangunkan Malam Al-Qadr, penuh keimanan dan berkira-kira, maka diampunkan untuknya, segala dosanya yang terdahulu.”


Maka nyatakan selepas membaca hadith-hadith ini, di ruangan mana, di saat mana di dalam Ramadhan, yang bukan waktu membersihkan diri?

Tidak. Seluruh Ramadhan itu adalah waktu yang Allah janjikan untuk keampunan.


Memang pintu keampunan Allah itu tidak pernah tertutup. Tetapi kita sendiri tidak mengetahui bilakah saatnya Allah benar-benar hendak menerima taubat kita.

Namun, di dalam Ramadhan, jelas Allah mengisyaratkan janjiNya: “Buat begini, Aku ampunkan.”


Puasa dalam bulan Ramadhan, dengan penuh keimanan dan berkira-kira(mengharap), Allah ampunkan segala dosa yang lalu.

Membangunkan(menghidupkan dengan amalan-amalan soleh) Ramadhan dengan penuh keimanan dan berkira-kira, Allah ampunkan segala dosa yang lalu.

Membangunkan(menghidupkan) Malam Al-Qadr dengan penuh keimanan dan berkira-kira, Allah ampunkan segala dosa yang lalu.

Jelas Allah nyatakan apa yang perlu kita buat, masanya, dan apa yang Dia nak berikan.

Adakah wujud perkara ini di bulan lain?

Jadi bagaimana Ramadhan tidak mampu menjadi motivasi kehidupan kita sebagai manusia?

Keluar dari Ramadhan dalam keadaan bersih, terampun, nyatanya kita akan lebih bersemangat untuk mengharungi 11 bulan yang akan datang, menjadi manusia yang lebih baik bukan? Atau setelah diampunkan, kita hanya berfikir untuk membuat dosa lagi?


Penutup: Ramadhan bukan bulan kebiasaan. Ramadhan adalah tempat rehat sebelum meneruskan perjalanan.

Kehidupan adalah satu permusafiran. Dan Ramadhan yang datang setiap tahun adalah tempat berehat, ibarat R&R di tengah highway.

Di dalam Ramadhanlah kita mengumpul bekalan, merehatkan diri mengumpul kekuatan, untuk meneruskan perjalanan kita dengan baik.

Ramadhan nyata memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang manusia, yang hendak mencari keredhaan Allah SWT, yang inginkan rahmat dan maghfirah Allah SWT, yang ingin hidup berjuang untukNya.

Ramadhan adalah tempat memperkuatkan diri, dan membersihkan diri, agar menjadi yang lebih baik untuk meneruskan perjalanan yang seterusnya.


Justeru bagaimana kita melayani Ramadhan?

Bagaimana kita mengisi Ramadhan?

Sepatutnya perkara ini menyemarakkan kita lagi untuk bersungguh-sungguh di dalam Ramadhan. Sepatutnya perkara ini menyemarakkan kita lagi untuk hidup sebagai hamba Allah SWT.

Betapa baiknya Allah SWT menganugerahkan kita Ramadhan dalam setahun kehidupan kita.


Bagaimana kalau Ramadhan tiada?

Sama-sama kita muhasabah kembali.


Ramadhan nyata signifikan dalam perjalanan hidup manusia.

Justeru, bagaimanakah kita melayaninya?


0 Mesej diterima:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH AWAK

KANTOI IDENTITI. Dikuasakan oleh Blogger.