-Blog kantoiIDENTITI jadi hashtag viral #@JomgelakFM-

Khamis, 11 Ogos 2011

SEBAKUL KUIH SERIBU MAKNA

PEMBACA
Masih teringat dalam ingatan saya pada peristiwa beberapa tahun yang lepas…selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Johor Bahru, memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas saya mula terasa mengantuk, saya singgah sebentar disebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.

Akak nak beli kuih? Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.


Tak apalah dik… akak dah pesan makanan” jawab saya ringkas.


Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.


Akak dah makan, tak nak beli kuih saya?” katanya selamba semasa menghampiri meja saya. “Akak baru lepas makan dik, Masih kenyang lagi ni” kata saya sambil menepuk-nepuk perut..


Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, “Taknak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak .. makcik?


Molek budi bahasanya!! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan dihati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.


Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan tudung, dan kemudian menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri ditepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyuman.


Akak dah kenyang, tapi mungkin akak perlukan kuih saya untuk adik-adik akak, ibu atau ayah akak” katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.


Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka beg duit dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.


Ambil dik, akak sedekah. Tak payah akak beli kuih tu ye”. Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis tua yang buta kedua-dua matanya.


Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.


Kenapa akak? nak beli kuih saya ke?” tanyanya.


Kenapa adik berikan duit akak tadi pada pengemis tu? Duit tu akak bagi adik!!” kata saya menjawab pertanyaannya.


Akak saya tidak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tidak berupaya, saya masih kuat kakkatanya begitu lancar.


Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya semua harga kuih dalam bakul itu.


Akak nak beli semua ke?” Dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.


RM25 saja kak


Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastic, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.


Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Johor Bahru, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.


Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!...


Dari Pena Mak Nenek Jambu…



0 Mesej diterima:

Catat Ulasan

TERIMA KASIH AWAK

KANTOI IDENTITI. Dikuasakan oleh Blogger.